Monday

MINGGU 1(04/05 Januari 2009) TAJUK 1 PENGUKURAN, PENGUJIAN DAN PENILAIAN

1.1 KONSEP PENILAIAN, PENGUKURAN DAN PENGUJIAN

1.1.1 Pentaksiran

Kini istilah “pentaksiran” mula digunakan dalam penilaian pencapaian. Popham (2000) menyatakan istilah-istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan secara silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran, yang merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran, merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang pelajar bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada pelajar dan juga untuk mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran.


1.1.2 Pengujian


Antara ketiga-tiga istilah berkenaan, pengujian selalunya dianggap mendukung maksud yang
lebih sempit atau khusus. Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.

Menurut Cronbach (1970),

“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah
laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan bantuan skala bernombor, atau
satu sistem yang berkategori”.

Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian
kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti
Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian
personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:

“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan
oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh
daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”. (Raminah
1991:2).

Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan, kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.

Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

Anda boleh mendapatkan maklumat mengenai Pengujian di sini.

1.1.3 Penilaian


Penilaian adalah konsep yang telah digunakan dalam pelbagai bidang. Penilaian dilakukan kerana mempunyai matlamat tersendiri. Dengan mengadakan penilaian, ia akan membolehkan kita membuat anggaran, sama ada matlamat yang telah ditetapkan itu tercapai atau sebaliknya. Penilaian juga dapat dianggap sebagai satu cara untuk mendapatkan bukti yang tepat tentang sesuatu perkara. Maklumat dan bukti ini amat penting dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Misalnya, dalam pendidikan, penilaian dapat menyelesaikan masalah tentang pencapaian matlamat yang ditetapkan, seperti menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah rendah. Dalam membuat penilaian, anda mungkin sering kali berhadapan dengan pelbagai masalah. Misalnya, tentang persoalan yang ingin diselesaikan, apakah bukti yang dianggapkan mencukupi atau bagaimana cara mendapatkan maklumat, siapa yang perlu mendapatkan maklumat dan sebagainya. Dengan memahami konsep pengujian, pengukuran dan penilaian, anda akan dapat merancang langkah-langkah dengan lebih teratur dan sistematik bagi mendapatkan maklumat yang tepat. Banyak definisi telah diberikan kepada istilah “penilaian”.

"Penilaian boleh dianggap sebagai proses membuat pertimbangan atau keputusan dalam memberikan nilai, mutu, kualiti atau harga bagi sesuatu benda atau perkara. Stufflebeam et al. (1971:xxv) menyatakan penilaian sebagai “proses delineating, mencari dan memberikan maklumat yang berguna dalam mempertimbangkan alternatif-alternatif keputusan”.

Definisi ini melepasi maksud pengujian dan pengukuran.

Gay (1985) berpendapat bahawa “penilaian ialah satu proses yang sistematik semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah ditetapkan itu telah tercapai”. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Justeru, penilaian berbeza dengan pengukuran yang melibatkan hanya pemberian ukuran dalam bentuk nombor tertentu yang lebih bersifat kuantitatif. Sebelumnya, Popham (1975) menyatakan penilaian yang sistematik perlu mempunyai satu tafsiran yang formal tentang nilai fenomena pendidikan. Secara menyeluruh, penilaian pendidikan mencakupi aspek-aspek hasil pengajaran dan pembelajaran dan juga hasil program pengajian berbanding matlamat asalnya. Dalam bilik darjah, apabila guru memberikan ujian, adakah guru berkenaan mengukur pencapaian pelajar atau menilai pencapaian pelajar? Dalam keadaan ini kita boleh mengatakan guru sebenarnya mengukur pencapaian pelajar melalui ujian yang dijalankan. Tindakan susulan guru ialah menilai ukuran pencapaian tersebut dengan menggunakan keputusan ujian itu bersama maklumat lain yang berkaitan. Selain menggunakan data kuantitatif, penilaian juga boleh dibuat dengan menggunakan data berbentuk kualitatif seperti yang diperoleh daripada pemerhatian atau temubual.

Justeru, penilaian boleh dibuat dengan menggunakan sama ada maklumat yang berbentuk kuantitatif, kualitatif atau kedua-duanya sekali. Dengan menggunakan maklumat kuantitatif, penilaian boleh dinyatakan dalam bentuk gred (seperti A, B, C, D atau E) bersama penjelasan nilainya (seperti cemerlang, kepujian, baik, lulus atau gagal). Sementara itu, penilaian yang menggunakan data kualitatif boleh dinyatakan dalam bentuk kualitatif juga, misalnya, Ali dapat melukis gambar kawannya dengan cepat, tepat dan bersih. Secara ringkasnya, penilaian meliputi tiga proses utama, iaitu menentukan ukuran, menganalisis ukuran dan menyatakan nilai/interpretasi ukuran.

Prosedur penilaian boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti dalam Rajah 1.1 di bawah


Rajah 1.1: Prosedur penilaian




Sumber

3 comments:

  1. mohon jasa baik anda untuk mengemailkan saya tajuk pengukuran dan penilaian ini sebagai rujukan saya untuk menyiapkan assigment..boleh tak...saya dah try download tapi tak leh......bleh tak tolong
    email saya :qaseh1243@hotmail.com
    tq so much

    ReplyDelete
  2. salam cikgu~ saya cuba anta kt email yg ckgu bagi.. tp xbleh~ ckgu try check balik email yg ckgu bagi tu~=)

    sy sedia membantu~=)

    ReplyDelete
  3. minta belas kasihan cikgu untuk memberi senarai rujukan untuk tajuk ini.email kepada saya secepat yang mungkin kerana info ini amat penting bagi saya.deeyah9869@gmail.com tq

    ReplyDelete